Kena Tembak Depan Rumah – Bukit Martajam

Bukit Mertajam: Dua beradik cedera dengan seorang daripadanya parah apabila ditembak seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumah mereka di Taman Bayu Mutiara, Juru, di sini jam 8.40 malam kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa, N Ashok Charles, 36, dan adik perempuannya, N Elenges, 32, bersama dua lagi adik-beradik lain dikatakan berada di hadapan rumah mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, ketika asyik berbual, mereka didatangi kereta Proton Waja.

“Seorang lelaki yang duduk di kerusi hadapan keluar sebelum melepaskan tembakan,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja tembakan mengena kedua-dua mangsa, lelaki itu terus melarikan diri.

Katanya, siasatan mendapati, suspek menyasarkan adik lelaki mangsa berusia 22 tahun, namun dalam kejadian itu, lelaki berkenaan dapat menyelamatkan diri dengan berlari masuk ke dalam rumah.

Mazlan berkata, Ashok yang juga ahli perniagaan parah selepas terkena tembakan di dada, leher, punggung dan tangan, manakala adik perempuannya cedera di lengan dan badan.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply